Wan Rosdi (dua dari kiri) dan Nek Abd Rahman menunjukkan laluan kuda sempena Program Hari Anti Rasuah. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Wan Rosdi (dua dari kiri) dan Nek Abd Rahman menunjukkan laluan kuda sempena Program Hari Anti Rasuah. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya identiti pesalah rasuah yang didakwa di mahkamah didedahkan dan tidak dibenarkan memakai penutup muka.

Presiden YARM Kelantan Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, langkah itu wajar diambil supaya pesalah insaf sekali gus memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

“Ketika ini kebanyakan pesalah rasuah akan menutup muka mereka dengan baju, tuala dan sebagainya bagi menyembunyikan identiti. Kami sokong SPRM tidak membenarkan pesalah yang didakwa menutup muka ketika media melaporkan kes mereka. S

“Kesalahan rasuah akan memberi kesan buruk kepada individu, keluarga dan negara. Jadi kita akan terus bersama SPRM untuk memastikan negara terutama Kelantan sifar rasuah menjelang 2020,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff dan Penaung Kelab Kuda Kelantan Datuk Dr Nek Abd Rahman Saleh.

Dalam pada itu, Nek Abd Rahman berkata, sempena Program Hari Anti Rasuah pada 9 Disember ini, YARM mensasarkan kehadiran 10,000 orang awam termasuk kakitangan jabatan kerajaan serta swasta akan hadir.

Katanya, pada program itu, peserta akan berarak dengan 50 kuda sejauh tujuh kilometer (km) dari bulatan Pasir Pekan hingga Stadium Sultan Muhammad IV.

“Program lain antaranya termasuk karnival jualan di stadium selama lima hari bermula 9 Disember selain konvoi 200 motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:28 PM