GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz dan Mohd Azam Shah Yaacob


BEKAS menteri kanan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang juga pemimpin kanan UMNO, dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, membabitkan dua kes yang sedang disiasat agensi itu.

Sumber berkata, bekas menteri kanan terbabit diperlukan bagi memberi keterangan berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion yang dikatakan diterima bekas perdana menteri itu.

Selain itu, sumber berkata, pemimpin politik berusia 60an terbabit juga dipanggil bagi membantu siasatan kes membabitkan penyelewengan dana sebuah yayasan yang pernah diterajuinya bernilai kira-kira RM900,000.

"Sebelum ini, bekas menteri kanan terbabit pernah dilaporkan oleh media, mengeluarkan kenyataan mengenai sumber dana RM2.6 bilion yang dikatakan sebagai derma disalurkan kepada Najib sebagai dana politik.

“Berikutan itu, SPRM perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara terbabit serta keterangan baharu daripadanya berkaitan penyelewengan dana yayasan itu pada Isnin ini,” katanya kepada NSTP.

NSTP difahamkan, penyelewengan dana yayasan yang dikaitkan secara langsung dengan bekas menteri kanan itu dikatakan berlaku di antara 2014 dan 2015 berdasarkan bukti transaksi dikesan SPRM.

Manakala, isu derma RM2.6 bilion pula mencetuskan kontroversi dan menyelubungi kepemimpinan Najib sejak 3 Julai 2015, apabila The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan yang penyiasat mendapati wang hampir RM2.6 bilion (AS$700 juta) dipindahkan ke akuan peribadi Najib.

Walaupun pada awalnya menafikan kemasukan wang terbabit ke dalam akaun peribadi dan mengancam mengambil tindakan saman terhadap WSJ, Najib kemudian mendakwa wang itu adalah derma daripada Arab Saudi dan tiada kaitan dengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi, berkata SPRM tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai siasatan membabitkan ahli politik terbabit kerana ia masih berjalan.

“Buat masa ini, kami tidak boleh mendedahkannya kerana dalam siasatan. Mungkin SPRM akan keluarkan kenyataan mengenainya seawal-awalnya esok.

"Bagaimanapun, ia tertakluk pada perbincangan dan hasil siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:43 PM