PENGARAH JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff (kanan) melihat anggota penguat kuasa memeriksa barangan dalam sebuah kenderaan yang ditahan dalam operasi Ops Khas JPJ di pintu sempadan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENGARAH JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff (kanan) melihat anggota penguat kuasa memeriksa barangan dalam sebuah kenderaan yang ditahan dalam operasi Ops Khas JPJ di pintu sempadan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN pemandu treler yang menukar badan kargo lebih besar dan luas masuk ke negara ini untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar apabila ditahan dalam sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sempadan Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Taktik itu digunakan pemandu berusia 40 tahun itu untuk membawa muatan lebih masuk ke negara ini.

Treler 30 tan itu juga sepatutnya didaftarkan membawa muatan barangan kering, namun membawa muatan sayur yang menjadi kesalahan kerana menipu pihak kastam.

Lebih mengejutkan apabila hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan itu mempunyai dua cukai jalan iaitu di bahagian kepala dan belakang untuk mengaburi pihak berkuasa di negara ini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, pihaknya menahan pemandu terbabit dan lelaki itu mengaku badan treler itu ditukar di negara jiran untuk membawa barangan yang lebih banyak.

Beliau berkata, pemandu itu juga turut memberi alasan badan treler asal mengalami kerosakan teruk dan perlu segera menghantar barangan basah berkenaan ke Johor.

"Namun apa yang kita nampak, treler ini adalah jenis kargo yang disyaki menggunakan plat kenderaan lain atau palsu di bahagian belakang.

"Bagaimanapun hasil siasatan mendapati, cukai jalan terhadap nombor plat di belakang itu masih berkuatkuasa malah nombor plat di bahagian depan treler itu kita musykil dan turut mempunyai cukai jalan, " katanya ketika ditemui di lokasi malam tadi.

Berikutan itu katanya, pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap treler itu dan kenderaan terbabit juga turut disita.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ismasuhaimi berkata, sepanjang operasi selama lima jam itu JPJ turut mengeluarkan sebanyak 120 saman, tiga notis arah periksa serta satu notis larangan penggunaan kenderaan.

Beliau berkata, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada lesen memandu.

Sementara itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menahan tiga lelaki selepas hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati positif methaphetamine dan ganja.

Operasi yang bermula 7 malam dan berakhir 11.30 malam itu dilakukan berikutan JPJ mendapat aduan berlaku penyelewengan terhadap kenderaan berat yang keluar masuk di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

Operasi membabitkan seramai 54 anggota daripada Ibu Pejabat JPJ Malaysia, JPJ Kedah, Perak dan Pulau Pinang, AADK serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 9:21 AM