ANTARA kenderaan berat yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Hentian Senawang, malam kelmarin.
ANTARA kenderaan berat yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Hentian Senawang, malam kelmarin.
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Ada segelintir kenderaan perdagangan khususnya yang membawa muatan berat dikesan menggunakan tayar botak atau bunga tayar nipis sehingga boleh mengundang bahaya.

Kesalahan berkenaan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi bersepadu yang diadakan di Hentian Senawang, arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, malam kelmarin.

Operasi bersepadu kenderaan pengangkutan awam dan barangan itu dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama JPJ negeri, polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri Datuk Ismail Lasim berkata, lebih 70 kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam diperiksa, daripada jumlah itu sebanyak 67 kesalahan dikesan.

Menurutnya, JPJ mengeluarkan 29 saman terhadap pemandu kenderaan berat terbabit yang melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu kenderaan berat, membawa lebih muatan dan tayar botak.

“Perbuatan pemandu yang membawa kenderaan berat menggunakan tayar botak dan nipis boleh membahayakan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain. Oleh itu, JPJ mengambil tindakan tegas mengeluarkan saman kepada mereka.

“Selain itu, polis trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan manakala JAS mengeluarkan tiga kompaun dan empat notis kepada kenderaan berat yang tidak mematuhi peraturan kawalan pelepasan asap enjin diesel serta petrol,” katanya pada sidang media di Hentian Senawang di sini, malam kelmarin.

Katanya, 50 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu yang diadakan dua fasa bermula jam 10 pagi hingga 2 petang dan jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri berkata, operasi itu akan dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa bagi mengesan kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:08 AM