Penjenayah yang merompak bank di Taman Rasah Jaya, Seremban, petang tadi.
Penjenayah yang merompak bank di Taman Rasah Jaya, Seremban, petang tadi.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Seorang lelaki mencurah petrol di kaunter sebelum mengugut membakar dengan menunjukkan pemetik api kepada kakitangan sebuah bank dalam kejadian rompakan di Taman Rasah Jaya, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.09 petang itu, suspek memakai topi keledar berpenutup penuh sempat melarikan wang tunai berjumlah RM39,000.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku ketika bank berkenaan baru menamatkan operasi dan secara tiba-tiba suspek muncul sambil membawa tong berisi petrol.

Beliau berkata, suspek kemudian mencurah petrol sebelum memanjat kaunter untuk masuk ke dalam pejabat sambil mengeluarkan pemetik api.

"Ketika itu, terdapat dua kakitangan namun seorang daripada mereka bergegas ke sinki untuk membasuh muka selepas terkena simbahan itu. Manakala seorang lagi kakitangan terpaku kerana ketakutan akibat suspek menunjukkan pemetik api.

"Kesempatan itu diambil suspek untuk melarikan wang tunai yang disimpan di dalam laci kaunter berkenaan. Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru putih," katanya.

Menurutnya, polis kini sedang giat memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di kawasan berkenaan termasuk sebuah kedai menjual barang sembahyang dan stesen minyak.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 9:54 PM