Baharom Bakar


Kuala Nerus: Kekurangan petrol di beberapa kawasan di negeri ini berpunca daripada penggunaan bahan bakar itu tinggi dan melebihi jangkaan susulan peningkatan jumlah kenderaan.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saharuddin Mohd Kia berkata, setiap stesen minyak mempunyai kuantiti petrol yang boleh digunakan untuk tempoh tertentu tapi disebabkan penggunaan terlampau tinggi pada Aidilfitri, bahan bakar itu habis sebelum tiba tarikh bekalan baharu diisi.

"Kekurangan bekalan bahan bakar itu hanya membabitkan petrol jenis RON95 dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat," katanya.

Seorang pengusaha stesen minyak di bandar Permaisuri, Setiu, dikenali Sabri berkata, dia terpaksa mengehadkan jualan petrol hanya RM30 bagi setiap kenderaan bagi membolehkan lebih ramai pengguna dapat mengisi minyak.

Bagaimanapun, katanya, isu kekurangan bekalan minyak bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah di seluruh negara.

"Kita membuat tempahan petrol sebanyak 180,000 liter, tetapi hanya dihantar sebanyak 7,000 liter kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

"Bekalan petrol yang dihantar habis dan kita terpaksa menutup stesen minyak kira-kira 3 petang ini disebabkan kehabisan bekalan," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kebanyakan stesen minyak terjejas kehabisan bahan bakar adalah yang berada di laluan utama dari Besut ke Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bahan bakar itu tidak terjejas di stesen minyak di pinggir bandar dan dalam kawasan bandaraya.

Malah, wartawan yang membuat tinjauan kesesakan lalu lintas bermula daripada Jertih, Besut ke Kuala Terengganu juga nyaris kehabisan minyak.

SEBUAH stesen minyak ditutup sementara kerana kehabisan bekalan. FOTO Baharom Bakar.
SEBUAH stesen minyak ditutup sementara kerana kehabisan bekalan. FOTO Baharom Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 6:42 PM