Shahrinnahar Latib

PADA mulanya hanya mahu membuat pinjaman sebanyak RM10,000, namun guru wanita di Rompin, terpaksa membayar pelbagai caj sehingga berjumlah RM100,050 selepas diperdaya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 15 Oktober lalu, wanita berusia 48 tahun itu melihat iklan pinjaman wang di laman web.

Beliau berkata, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki dan bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000.

"Bagaimanapun untuk mendapat pinjaman berkenaan, mangsa diminta membayar pelbagai caj yang dikenakan termasuk bayaran cukai, wang proses pinjaman, upah peguam, duti setem dan pembayaran perkhidmatan.

"Mangsa kemudian membuat sebanyak 24 kali transaksi wang ke dalam lapan akaun bank yang diberikan oleh suspek bermula 22 Oktober hingga 5 November lalu," katanya dalam satu kenyataan media di Rompin, hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat semua bayaran itu, mangsa mula tersedar dia sebenarnya ditipu oleh sindiket berkenaan selepas tidak mendapat wang pinjaman itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin semalam.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan mengenal pasti suspek berdasarkan nombor akaun bank yang digunakan bagi tujuan transaksi wang.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa membuat bayaran dan mengalami kerugian," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang Penolong Pegawai Pertanian di Kuantan berusia 38 tahun kerugian RM45,450 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai kastam, akhir bulan lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 29 Oktober lalu, mangsa lelaki itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Suspek memberitahu, rakan mangsa yang dikenalinya setahun lalu melalui media sosial Facebook ditahan di pejabat kastam KLIA kerana membawa wang sebanyak US$250,000 (RM1.04 juta).

"Mangsa diminta membuat bayaran sebanyak RM45,450 untuk melancarkan proses pembebasan kawannya itu. Mangsa kemudian membuat 12 kali transaksi bermula 30 Oktober lalu hingga kelmarin ke dalam dua akaun yang diberikan suspek," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat semua bayaran itu, mangsa menyedari sudah ditipu oleh sindiket ini sebelum membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:20 AM