Shahrinnahar Latib


PENOLONG pegawai sebuah kedai pajak gadai Islam di Kuantan kerugian RM14,855 selepas diperdayakan sindiket pinjaman wang tidak wujud di Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 22 Januari lalu, lelaki berusia 31 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dipromosikan di FB.

“Mangsa kemudian berurusan dengan dua lelaki untuk mendapatkan pinjaman berkenaan sebelum diminta menghantar salinan kad pengenalan, slip gaji dan bil elektrik.

“Tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan menyatakan pinjaman berkenaan sudah lulus sebanyak RM25,000 namun perlu membayar sebanyak RM550 sebagai wang jaminan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun katanya, selepas itu mangsa masih lagi diminta membuat pelbagai bayaran sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,855.

“Wang berkenaan kononnya untuk kelulusan pinjaman, cukai dan wang peguam, namun selepas transaksi dibuat, mangsa masih belum mendapat wang pinjaman berkenaan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang pekerja syarikat penapis air berusia 41 menanggung kerugian RM5,050 selepas diperdaya sindiket yang mengguna modus operandi sama.

“Kejadian bermula awal bulan ini apabila mangsa berminat membuat pinjaman sebanyak RM20,000 selepas melihat iklan di FB. Bagaimanapun mendapatkan pinjaman berkenaan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran oleh sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas membuat semua bayaran berkenaan, sindiket berkenaan masih lagi meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM2,000, namun mangsa mula menyedari dirinya sudah ditipu.

“Kedua-dua mangsa ini sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:28 AM