WANITA warga asing yang ditahan dalam Ops Kutip di Jalan Changkat, di sini, baru-baru ini. FOTO Ihsan JIM KL
WANITA warga asing yang ditahan dalam Ops Kutip di Jalan Changkat, di sini, baru-baru ini. FOTO Ihsan JIM KL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lubuk 'ayam' warga Afrika menjual diri di sekitar Jalan Changkat dan sekitar Bukit Bintang, di sini dikesan kembali meriah walaupun baru diserbu beberapa bulan lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, lokasi itu sememangnya sudah berada di dalam radar pihaknya untuk melaksanakan operasi menyeluruh.

"Lokasi berkenaan sudah diserbu lokasi itu sebelum ini menerusi Ops Kutip di sekitar Bukit Bintang, di sini pada 24 November tahun lalu namun dikesan kembali aktif.

"Seramai 11 wanita warga asing ditahan kerana antaranya disyaki menawarkan perkhidmatan tidak bermoral," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian susulan penularan beberapa klip video memaparkan sekumpulan wanita warga Afrika berpakaian mencolok mata berkumpul di sekitar Jalan Changkat dan Jalan Nagasari di sini sehingga menjadi perbualan hangat warganet.

Tidak kurang juga ada yang mencemuh pihak berkuasa kerana beranggapan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Susulan itu Wan Mohammed Saupee berkata, pihak JIM sedang memantau situasi di lokasi berkenaan supaya satu tindakan tegas dapat diambil bukan sahaja kepada warga asing terbabit malah terhadap pemilik premis juga.

"Operasi ini akan dilaksanakan kelak bagi 'menghabiskan' terus aktiviti tidak bermoral di kawasan itu secara menyeluruh.

"Tindakan termasuk sita, beku aset dan akaun pemilik premis juga akan diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:22 PM