PENDUDUK Taman Bangi Indah, menunjukkan parit yang tidak mampu menampung air hujan lebat dan menyebabkan banjir kilat memasuki ke dalam rumah mereka  di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
PENDUDUK Taman Bangi Indah, menunjukkan parit yang tidak mampu menampung air hujan lebat dan menyebabkan banjir kilat memasuki ke dalam rumah mereka di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Noor Hidayah Tanzizi

Bangi: Hati warga emas, Mohd Tumirin Yatim tidak pernah tenang setiap kali hujan lebat lebih 30 minit sejak empat tahun lalu kerana dia tahu rumahnya di Taman Bangi Indah di sini, pasti akan dinaiki air menyebabkan banjir kilat.

Pesara kerajaan berusia 65 tahun itu mengakui sudah terlalu penat untuk membersihkan rumah dan menimba air banjir di saat dirinya sudah menghampiri usia senja kerana limpahan air daripada longkang monsun berhampiran rumah.

Masalah banjir kilat itu bukan saja menghantui Mohd Tumirin malah penduduk di kawasan Rumah Murah PKNS dan Kampung Batu 6, di sini, yang mana mereka mendakwa masalah terbabit berlarutan sejak 2017 dan semakin serius lima tahun lalu.

Masalah itu didakwa kerana longkang utama iaitu longkang monsun (monsun drain) tidak dapat menampung kapasiti air hujan berlebihan dari penempatan baru berhampiran kerana longkang itu dibina hanya untuk tiga kawasan itu saja.

Mohd Tumirin berkata, perumahannya di Taman Bangi Indah adalah kawasan tinggi, namun tetap dinaiki air kerana ia berhampiran longkang monsun berkenaan, malah empat rumah lain sebaris rumahnya turut mengalami nasib sama.

Menurutnya, pada 2023 tiga kali rumahnya dinaiki air dengan terbaru pada November lalu.

Katanya, biarpun hanya banjir kilat tetapi tetap mengambil masa untuk surut, malah dia terpaksa menimba air keluar dari rumahnya.

"Setiap kali banjir kilat saya akan minta anak balik ke rumah untuk bantu buang air kerana tak mampu melakukannya seorang diri sebab sudah sudah berusia.

"Air mula masuk di bahagian belakang rumah dan air dalam rumah naik antara 0.1 hingga 0.3 meter (m), walaupun tak tinggi namun tetap merosakkan barangan rumah.

"Saya juga terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membina tembok di belakang rumah," katanya ketika ditemui.

Jirannya, Rosni Ngah Mehan, 70, dia juga terpaksa menimba air banjir di dalam rumah dan mengakui tidak senang duduk apabila hujan lebat berterusan kerana tahu air dari longkang monsun di tepi rumahnya akan melimpah.

Katanya, dia membela lebih 10 kucing juga bimbang dengan keselamatan haiwan kesayangan itu, malah kabinet dapurnya juga sudah mula mereput kerana banjir kilat.

"Saya akui hujan adalah rahmat tetapi dalam situasi kami di sini ia tetap mendatangkan kebimbangan terutama hujan berterusan lebih setengah jam dan nanti lima deret rumah akan dinaiki air.

"Saya mohon tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa mengenai isu ini," katanya.

AIR banjir yang memasuki  kediaman penduduk berpunca dari air parit utama yang melimpah susulan hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak mampu menampung kapasiti air di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Ihsan Penduduk Taman Bangi Indah
AIR banjir yang memasuki kediaman penduduk berpunca dari air parit utama yang melimpah susulan hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak mampu menampung kapasiti air di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Ihsan Penduduk Taman Bangi Indah

Wakil penduduk, Zakariah Mohd Elah, 64, berkata, masalah itu berlaku sejak 2017, namun keadaan semakin serius sejak lima tahun lalu apabila semakin banyak penempatan menyebabkan longkang berkenaan tidak menampung air hujan berlebihan.

Katanya, longkang monsun itu sudah berusia 30 tahun dan saiz tidak berubah.

Menurutnya, ia juga masih berfungsi dengan baik untuk tiga kawasan perumahan mereka, namun kapasiti air ketika ini melebihi keupayaan longkang itu.

"Mereka ada longkang tetapi akhirnya air hujan akan masuk ke longkang monsun kami menyebabkan jumlah air akan lebih daripada kapasiti sepatutnya mereka ada 'jalan' lain untuk pengaliran keluar air daripada kawasan mereka.

"Kawasan itu juga sepatutnya perlu ada longkang monsun (atau) sistem perparitan (mengalirkan air hujan) terus ke sungai mengapa mesti menumpang longkang kami.

"Disebabkan itu longkang monsun kami mengalami over flow (berlaku limpahan air) menyebabkan Taman Bangi Indah yang kawasannya agak tinggi juga boleh berlaku banjir kilat," katanya.

Zakariah berkata, mereka sebelum ini sudah beberapa kali meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan secara tuntas untuk menyelesaikan masalah berkenaan, namun sehingga kini mendakwa tiada langkah proaktif diambil.

"Kita akui ada tindakan yang diambil termasuk membersihkan kawasan berkaitan tetapi fokus kita adalah banjir kilat yang belum ada tindakan cuma ada cadangan (tetapi) tiada tindakan supaya masalah dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya mendakwa ada perumahan baru bakal dibina dan itu juga membuatkan mereka bimbang jika situasi boleh menjadi semakin serius.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:00 AM