GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli


KERAJAAN akan mengambil kira pendapatan pemilik, usia dan kuasa kuda kereta dalam menentukan kelayakan pemberian subsidi petrol RON95 kepada orang ramai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan.

“Kategori yang layak berdasarkan tahap pendapatan, kuasa kuda kenderaan dan juga usia kenderaan.

“Jadi kita perlukan maklumat tepat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenalpasti jumlah pemilik kenderaan lama,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Awal Kulim, di Kulim, hari ini.

Saifudin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Kewangan pada 8 November ini bagi mencari formula terbaik untuk perlaksanaan subsidi ini.

“Kita galakkan perbincangan, perbahasan dalam kalangan rakyat mengenai perkara ini. Pandangan rakyat, jemaah menteri, syarikat minyak, pengedar minyak dan persatuan pengguna kami akan ambil kira.

“Kami mempunyai empat bulan lagi untuk memberi situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati RON95 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, beliau berkata, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:45 PM