Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


LIMA lelaki termasuk tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan, minggu lalu.

Mereka adalah Ketua Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman, Terengganu, Muhammad Rezal Kamal Bashah, 39; bersama dua adiknya, Muhammad Aminruddin, 31, yang juga guru dan Pembantu Am Rendah Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), Muhammad Nur Adnan Shah, 29.

Dua lagi tertuduh ialah nelayan, Muhammad Suhaimi Abdullah, 20, dan Abdullah Saat, 56 tahun.

Semua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merompak menggunakan sepucuk pistol, satu tan sotong bernilai RM20,000 daripada sebuah bot nelayan di perairan Rompin, jam 3.14 pagi, 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari manakala, semua tertuduh diwakili peguam Anwar Ab Raof dan Mohd Faizal Hiqram Azmi.

Terdahulu, setiap tertuduh ditawar jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Bagaimanapun Anwar memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan atas alasan kesemua tertuduh terpaksa menanggung keluarga masing-masing.

Siti Aminah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 3:20 PM