Abdul Hadi menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya bagi bantah ICERD sebelum menyerahkan kepada wakil JPM. FOTO Asyraf Hamzah
Abdul Hadi menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya bagi bantah ICERD sebelum menyerahkan kepada wakil JPM. FOTO Asyraf Hamzah
Siti Nur Mas Erah Amran


PERSETUJUAN ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disifatkan sebagai ‘mengundang malapetaka’ kepada negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, penerimaan ratifikasi berkenaan boleh memberi impak negatif terhadap rakyat khususnya hak Bumiputera.

“Penolakan dibuat sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan saya harap, Pakatan Harapan (PH) pun tolak sebab implikasinya sangat besar terhadap sendi utama pembentukan negara.

“Kalau kita setuju, maknanya kita akur dengan aturan dan tuntutan ICERD. Kita bimbang persetujuan ini mengundang malapetaka,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika mengulas himpunan membantah ICERD oleh pertubuhan bukan kerajaan, hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengetuai rombongan 10 peserta himpunan menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Jabatan Perdana Menteri.

Lebih 100 peserta berjalan dari Tugu Negara bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen selepas dihalang anggota dan pegawai polis yang berkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 3:11 PM