PENUNGGANG motosikal Aziz Ismail, 57, patah kaki dan paha kirinya selepas motosikal yang ditungganinya dilanggar van yang berhenti secara tiba-tiba untuk menyaksikan kemalangan maut di Kilometer 336.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2 ) dekat Paka,  malam tadi. FOTO Rosli Ilham

Rosli Ilham

TINDAKAN pemandu van yang berhenti secara tiba-tiba untuk melihat kemalangan maut di Kilometer 336.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Dungun, menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera selepas dilanggar van terbabit 8 malam tadi.

Pemandu berusia 50-an itu memandu van di lorong kanan, secara tiba-tiba masuk ke lorong kiri dan melanggar motosikal yang ditunggang Aziz Ismail, 57.

Berikutan itu, motosikal terbabit terbalik sebelum penunggangnya terperosok di bawah kereta milik wartawan yang sedang bertugas melaporkan kejadian kemalangan maut di situ.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, orang ramai kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaannya sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans.

Katanya, ketika kejadian penunggang motosikal terbabit dari Dungun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gombak Selangor.

“Mangsa yang patah kaki dan paha kanannya dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Pemandu van terbabit kemudiannya datang ke Balai Trafik Dungun untuk membuat laporan, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:04 AM