KHAIRY Jamaluddin
KHAIRY Jamaluddin
Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak cadangan untuk tidak mempertandingkan jawatan tertentu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, cadangan seumpamanya tidak lagi boleh ada dalam UMNO jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat kerana ia antara punca Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti keramat Melayu itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut menyifatkan cadangan itu sebagai mengarut kerana ia memberi mesej yang salah kepada masyarakat mengenai hala tuju UMNO selepas PRU14.

“Saya tak setuju kalau ada apa-apa jawatan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

“Saya gembira jika ada pihak yang menyokong saya (untuk jawatan dalam parti), tetapi apa-apa jawatan untuk saya atau sesiapa pun dalam UMNO mesti dipertandingkan.

“Saya rasa usul tidak pertandingkan jawatan ini antara sebab mengapa rakyat hilang kepercayaan pada kita, seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli, jadi baik hentikan perkara mengarut ini,” katanya ditemui di Menara Dato’ Onn di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan UMNO Melaka yang mahu jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden masing-masing diserah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy serta ketiga-tiga jawatan tidak dipertandingkan.

Penolakan Khairy terhadap cadangan itu bagaimanapun berbeza dengan ucapan dasarnya ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Disember tahun lalu apabila beliau berpendirian jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu.

Ditanya sama ada sudah tiba masanya beliau bertanding jawatan Presiden, Khairy berkata, masih banyak masa untuk memikirkan mengenai jawatan yang akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin senada dengan Khairy apabila turut menolak cadangan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi dalam parti itu.

“Saya rasa UMNO perlu berubah kerana akar umbi, rakyat sudah berubah, jadi kenapa kita perlu hentikan sesiapa pun yang mahu bertanding bagi mana-mana jawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 5:54 AM