Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Keghairahan mengejar jawatan, isu 'poster boy' yang dimainkan pihak lawan dan kecelaruan naratif antara faktor menumbangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ia sekali gus mengaburkan naratif Umno sebagai parti yang mampu mewujudkan kerajaan stabil sehingga membuahkan kejayaan di Melaka dan Johor sebelum itu dengan naratif lain yang pelbagai.

"Naratif penceritaan kita menjelang PRU-15 bersimpang-siur. Ini termasuk isu siapakah yang patut menjadi 'poster boy'? Kita dilihat lebih ghairah dalam mengejar jawatan dalam kerajaan sekiranya menang. Kita dilihat lebih banyak membuat persiapan pemilihan dalam parti daripada persiapan PRU-15.

"Semua mengandaikan menang di Melaka dan Johor (sebelum ini) menjadikan jaminan menang keseluruhan pilihan raya umum. Naratif kita celaru kerana sebahagian daripada perencanaan lawan dan ada juga sebahagian lagi kerana kerenah kita juga.

"Lawan sifatnya lawan, mencari kelemahan kita dan membina naratif rakyat untuk memusnahkan kita adalah sifat mereka sebagai lawan. Sasaran mereka terhadap pemimpin kita adalah makanan semula jadi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

AHMAD Zahid menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AHMAD Zahid menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Zahida berkata, kelemahan Umno adalah tidak cukup pandai mencari keburukan pemimpin lawan dan menghina mereka hingga ke tahap yang paling rendah.

"Apatah lagi membina naratif pembunuhan karektor dan mencipta fitnah. Umno hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan, kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karektor mereka satu-persatu.

"Kekuatan mereka (parti lawan) pula walau apa tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpin, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih, manakala kita apabila diserang ada kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita," katanya.

Menurutnya, sepatutnya semua ahli parti mendokong pemimpin parti supaya menjadi lebih kuat bukan melemahkannya dan sekarang adalah masa untuk melakari semula naratif penceritaan Umno.

"Umno parti yang pernah berjasa masih ingin meneruskan jasa. Janganlah lagi disulami dengan plot baru yang menggambarkan perbalahan yang berterusan sesama kita. Rakyat melihat 'keluarga' yang tidak tenteram tidak mampu untuk mententeramkan keluarga lain yang tidak tenteram," katanya.

Katanya, Umno yang berpecah tidak mungkin menjadi Umno yang kuat untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Cukuplah apabila ada dalam kalangan kita berdiam diri di dalam mesyuarat tetapi tak segan lempar batu sembunyi tangan untuk memburukkan parti di luar sana.

"Cukuplah kalau ada siapa yang nak bina parti di dalam parti hingga kita dilihat sebagai parti yang berpuak-puak dan mengatur kiblat ketaatan yang berbelah bagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 1:24 PM