AZIZ (kiri) ingatkan UMNO supaya usah terbuai dengan zaman lalu UMNO.FOTO/FAIL
AZIZ (kiri) ingatkan UMNO supaya usah terbuai dengan zaman lalu UMNO.FOTO/FAIL
Rohaniza Idris


AHLI UMNO perlu menjadikan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian sebagai usaha untuk mengukuhkan muafakat dalam parti bukan lagi dengan medan untuk mengukuhkan kedudukan dalam parti atau berebut jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang juga Ketua UMNO Bahagian Seri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, dalam fasa ahli masih terkejut dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, tidak sepatutnya pemilihan UMNO itu dijadikan ruang untuk menjarakkan lagi jurang antara ahli parti.

Katanya, pemilihan parti sepatutnya dijadikan medan mengukuhkan lagi parti untuk terus bangkit selepas ‘terkejut’ dengan kekalahan dalam medan ‘perang’ yang lalu.

“Saya lihat sikap sebilangan pemimpin di peringkat bahagian masih tidak berubah mereka masih terbuai dengan zaman lalu UMNO. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pemilihan parti selepas pacsa PRU-14 perlu dijadikan tempat membina semangat dan muafakat parti,” katanya dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pemilihan kepemimpinan baharu UMNO di peringkat cawangan dan bahagian adalah tempoh kritikal yang bakal menentukan masa depan parti.

Justeru, katanya akar umbi perlu memilih pemimpin dengan adil, matang dan berintegriti untuk kembali mengangkat parti keramat Melayu itu sebagai wadah politik utama negara.

Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan dan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri bermula 19 Jun hingga 10 Jun, manakala peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.

Persidangan dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, perjalanan mesyuarat di peringkat cawangan di Bahagian Tun Razak berjalan lancar dan tertib dalam suasana semua ahli parti bermuhasabah dengan kekalahan pada PRU-14.

Katanya, isu yang dibawa dalam mesyuarat itu untuk mesyuarat Bahagian lebih berkisar kepada keinginan semua melihat kepada perubahan menyeluruh dalam parti sama ada di Bahagian mahu pun di peringkat pusat.

“Perubahan bukan sekadar alam barisan kepemimpinan tetapi juga hala tuju parti selepas UMNO dan BN kini menjadi pembangkang. Mengenai jawatan pula, ia dilakukan dengan berhemah dan teratur tanpa pertandingan di peringkat cawangan kerana kebanyakannya menyerahkan jawatan kerana tidak mahu bertanding dan ada yang menyatakan untuk berundur dan memberi kepada muka baru, ” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pemilihan UMNO kali ini adalah untuk berubah dengan suara ahli yang lebih radikal dalam menentukan masa depan parti.

Untuk itu, katanya ahli di peringkat akar umbi secara lantang dan terbuka mahukan barisan kepimpinan Umno berubah akibat kesan pahit yang dialami pada PRU-14.

“’Mood’ ahli UMNO juga nampak jelas inginkan satu anjakan paradigma berlaku dalam persekitaran politik yang telah berubah dengan kedudukan parti selaku pembangkang setelah 60 tahun berkuasa.

“Saya tidak terkejut jika perwakilan akan mencalonkan nama-nama pemimpin pelapis termasuk dari kalangan pemuda untuk menduduki kerusi tertinggi parti termasuk barisan MT, kerana kesan PRU amat menyakitkan kepada lebih 3 juta ahli-ahli UMNO.

“Kita kena terima hakikat bahawa UMNO perlu bangkit daripada kesilapan masa lalu dengan membuktikan parti itu masih relevan untuk perpaduan orang Melayu,” katanya.

Beliau juga menaruh keyakinan bahawa UMNO dengan semangat baru pasti akan kembali menerajui negara ini kerana kebangkitan itu tidak mustahil, seperti mana tidak ada yang sebelum ini menduga Pakatan Harapan (PH) akan menguasai Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:56 PM