Badrul Kamal Zakaria


“YA Allah ya tuhanku, sembuhkanlah penyakitku“, itulah doa yang sering dibaca Farisha Alina Abdullah Fallah, 7, yang menderita penyakit Congenital Talipes Equinovarus (CTEV).

Penyakit ini menyebabkan tapak kaki tertarik ke bawah dan membengkok ke dalam, selain pergelangan kaki turut membengkok.

Farisha Alina sentiasa berdoa dan mengimpikan kehidupan normal sebagaimana rakan sebaya lain.

Dia disahkan mengidap penyakit terbabit sejak lahir dan sehingga kini menjalani lima pembedahan. Kali pertama ketika usianya kira-kira setahun.

Nurain (kanan) dan Abdullah (kiri) membantu Farisha Alina yang menghadapi masalah kecacatan kaki (CTEV).NSTP/Adi sAFRI
Nurain (kanan) dan Abdullah (kiri) membantu Farisha Alina yang menghadapi masalah kecacatan kaki (CTEV).NSTP/Adi sAFRI

Ibunya, Norain Omar, 29, berkata anak perempuan tunggalnya itu turut disahkan mengidap penyakit berkaitan Hip Dsyplasia (berkaitan dengan tulang punggung) dan Scoliosis (berkaitan tulang belakang).

Katanya, keadaan itu menyebabkan kaki anaknya tidak dapat menampung berat badannya dan memerlukan rawatan berterusan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Walaupun sudah menjalani pembedahan sebelum ini, keadaannya tidak berubah. Penyakit terbabit juga menyebabkan kerosakan pada bahagian tulang dan juga sistem sarafnya.

“Perkara ini boleh dilihat pada bahagian kakinya, lutut yang kemudiannya menyebabkan keadaan tulang belakangnya juga semakin membengkok dan juga memberi kesan pada bahagian mata,” katanya.

Selain itu kata Norain, keadaan ini turut memberi kesan kepada usus besar dan kecilnya hingga perlu mengambil ubat khas untuk membuang air. “Doktor juga memaklumkan kalau usus ini membengkak, mereka terpaksa menebuk dan memasang tiub bagi mengelak ia memberi kesan pada buah pinggang dan tulang punggungnya,” katanya.

Norain berkata, walaupun anaknya menderita penyakit terbabit, Farisha Alina tidak pernah menunjukkan kekurangan dirinya dan tabah untuk ke sekolah seperti rakan seusianya setiap hari walaupun terpaksa bertongkat dan menggunakan kerusi roda berikutan tidak mampu berdiri lama dan berjalan jauh.

Kanak-kanak comel itu juga tetap menyimpan hasrat dan cita-cita untuk menjadi pelakon serta peragawati seperti bintang idolanya, Ayda Jebat meskipun sedar penyakit itu turut membataskan pergerakannya.

Sementara itu, bapanya, Abdullah Fallah Rahman, 29, berkata pihaknya juga bersyukur kerana beberapa pihak lain termasuk Baitulmal dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan bagi menampung kos rawatan anaknya.

Abdullah Fallah (kiri) memakaikan pendakap kaki khas kepada Farisha Alina. NSTP/Adi Safri.
Abdullah Fallah (kiri) memakaikan pendakap kaki khas kepada Farisha Alina. NSTP/Adi Safri.

“Farisha Alina juga perlukan kasut khas. Sebelum ini, kami ada membuat kasut khas itu tetapi doktor menyatakan kasut itu tidak sesuai kerana tidak mengikut spesifikasi dan perlukan kasut lain tetapi ia agak mahal menyebabkan dia hanya memakai kasut khas sementara yang dibekalkan oleh hospital.

“Kami juga turut dinasihatkan oleh doktor untuk membuat pemeriksaan matanya, selain perlu menampung beberapa kos lain seperti lampin pakai buang, kos pengangkutan ke HKL untuk rawatan dan pemeriksaan setiap bulan dan kos lain bagi keperluannya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu stor.

Farisha Alina yang menghadapi masalah kecacatan kaki (CTEV), ingin menjalani kehidupan seperti rakan-rakan lain. NSTP/Adi Safri.
Farisha Alina yang menghadapi masalah kecacatan kaki (CTEV), ingin menjalani kehidupan seperti rakan-rakan lain. NSTP/Adi Safri.

Jika ada pihak yang ingin membantu dan menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Abdullah Fallah di 011-12758203 atau Norain 011-17712756.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 5:22 PM