Meor Riduwan Meor Ahmad dan Manirajan Ramasamy


DUA ahli PKR yang terbabit insiden pergaduhan pada pemilihan parti itu di Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu lalu, dipecat serta-merta.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Biro Politik PKR, malam tadi.

Beliau berkata, keputusan dibuat secara konsensus dan kes pelanggaran disiplin biasanya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

“Tapi ada dua kes diteliti Biro Politik berdasarkan gambar dan rakaman (video). Pertamanya di Merbok, Kedah apabila terbabit pergaduhan dan penggunaan senjata, maka kita ambil keputusan pecat ahli terbabit serta-merta sebagai anggota parti.

“Begitu juga insiden di Seberang Jaya, Pulau Pinang apabila kerusi dibaling. Kita sudah kenal pasti dan sekarang namanya disemak untuk sahkan nama tepat.

“Sehubungan itu, orang berkenaan yang ada dalam video berkenaan secara automatik terpecat mulai saat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi yang membincangkan kekecohan pada proses pengundian pemilihan kepemimpinan PKR di Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din.

Sebelum ini, media melaporkan pergaduhan sesama ahli itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal sistem e-undi (undi secara digital) hingga menyebabkan polis campur tangan dan seramai 14 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu pada pemilihan Cabang Merbok, Sungai Petani, Kedah.

ANWAR (duduk tengah) ketika sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
ANWAR (duduk tengah) ketika sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.

Anwar menegaskan, berikutan penggantungan dikenakan, kedua-dua ahli terbabit tidak boleh terbabit dalam apa-apa kegiatan parti termasuk proses pemilihan.

Selain itu, katanya, jika ada pimpinan parti yang mendokong mereka turut akan dikenakan tindakan disiplin terhadap mereka atau mana-mana calon.

“Kita ambil keputusan tegas dan keras ini kerana nak elak sebarang kelakuan biadap, melanggar hukum, bahkan jenayah berlaku.

“Tahniah kepada polis yang segera ambil tindakan dan parti ulangi pendirian tidak akan lindungi mereka yang terbabit.

“Lebih baik mereka dibaling keluar daripada parti. Oleh kerana jika mereka di dalam, mereka baling kerusi kepada kita,” katanya.

Anwar berkata, dalam mesyuarat itu Biro Politik PKR itu, pihaknya bersetuju dengan saranan JPP dan menerima keputusan mereka untuk menangguhkan proses pemilihan di Kedah, sementara keputusan di Pulau Pinang diterima dengan pengauditan terperinci supaya menjamin integriti sistem.

Beliau berkata, pemilihan di Perak dan Perlis turut ditangguhkan dan akan diadakan serentak sebelum Kongres PKR pada November.

“Ada beberapa kelemahan dikenal pasti termasuk proses pemilihan itu (e-undi) sudah diperbaiki dan akan dilaksanakan di Johor pada 30 September,” katanya.

Sementara itu, Anwar akan bertemu Menteri Kerja Raya Baru Bian esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah membabitkan setiausaha politiknya.

Katanya, beliau sudah melihat video berkaitan dan menganggap ia sesuatu yang mengganggu.

Pagi semalam, Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Ab Razak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Setiausaha Politik Baru yang juga calon majlis kepimpinan pusat PKR .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:20 AM