GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zahratulhayat Mat Arif

SEORANG lagi mangsa keracunan alkohol meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, mangsa yang dirawat di HRPB sejak Rabu lalu meninggal dunia pagi semalam.

“Seorang meninggal semalam menjadikannya individu ketiga yang meninggal dunia di Perak dan seorang lagi dalam keadaan kritikal.

“Tiada pertambahan mangsa baru dan kes keracunan alkohol kekal sebanyak lima iaitu tiga meninggal dunia, seorang dalam keadaan kritikal dan seorang lagi mangsa berusia 35 tahun akan dibenarkan keluar wad hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan 'Memory Walk 2018: Dementia Awareness' anjuran Dementia Society Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan dua lelaki rakyat tempatan maut, manakala tiga lagi masih menerima rawatan di HRPB, akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman beralkohol.

Lima kes berkenaan menjadikan Perak negeri ketiga dikesan berlaku kes sama selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 11:03 AM