LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Farah Suhaidah Osman

POLIS Perak menahan seorang lagi peniaga kedai runcit serta merampas 25 tin minuman keras dalam serbuan di Kanthan Bharu, Chemor, dekat Ipoh, hari ini.

Ia susulan kes kematian akibat keracunan metanol yang dilaporkan di seluruh negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan dalam Op Methanol Perak di kedai runcit berkenaan di Taman Sri Kanthan pada 6.15 petang.

"Lelaki ini akan ditahan (reman) untuk membantu siasatan kematian dua lelaki akibat minuman jenis yang sama," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Tangkapan terbaru itu menjadikan dua lelaki ditahan oleh polis Perak hari ini berhubung kes itu.

Petang tadi, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mengesahkan tangkapan lelaki pertama berusia 35 tahun dalam serbuan di sebuah kedai di Bercham, di Ipoh.

Dalam serbuan 4 petang itu, polis turut merampas 42 botol minuman keras.

Serbuan dibuat selepas polis menerima laporan daripada Pegawai Kesihatan Daerah Kinta pada jam 1.30 tengah hari berkaitan kes lima kes keracunan minuman keras.

Berdasarkan laporan, setakat ini dua lelaki meninggal dunia, dua lagi sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan seorang lagi lelaki menerima rawatan di wad perubatan hospital sama dan kesemua mangsa berusia antara 35 hingga 55 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan pada sidang medianya di HRPB mengesahkan dua lelaki rakyat tempatan maut, manakala tiga lagi masih menerima rawatan di hospital itu akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman keras.

Lima kes berkenaan menjadikan Perak negeri ketiga dikesan berlaku kes berkenaan selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Berita berkaitan

14 kes keracunan baru metanol

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:20 PM