LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai jumlah 37 kematian akibat keracunan metanol.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai jumlah 37 kematian akibat keracunan metanol.
Hasbi Sidek


TIGA lagi kematian akibat keracunan metanol dilaporkan masing-masing di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan menjadikan jumlah yang maut setakat ini seramai 40 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 95 notifikasi kes keracunan metanol dari fasiliti KKM.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes keracunan metanol di Selangor sebanyak 63 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada kepada tiga kes, Kuala Lumpur serta Perak masing-masing kekal 17 dan 12 kes.

“Terdapat peningkatan bilangan maut akibat keracunan metanol dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 40 kes.

“Terkini, jumlah kematian akibat keracunan di Selangor adalah 24 kes, Perak empat kematian, Kuala Lumpur 11 kes, manakala satu kematian di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi pesakit yang menerima rawatan di hospital, lapan daripadanya didapati stabil dan dibenarkan keluar.

Beliau berkata, 17 pesakit masih dirawat di enam hospital di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan dengan tujuh daripadanya masih kritikal.

“Pecahan individu meninggal dunia mengikut negara adalah dua warga Bangladesh, dua warga India, 11 warga Myanmar, 10 warga Nepal, 11 warga tempatan dan empat lagi tidak dapat dikenalpasti kewarganegaraan.

“KKM sedang berusaha untuk menyebarkan maklumat berkaitan keracunan metanol ini kepada masyarakat terutama kepada golongan berisiko.

“Sesi penerangan dan pendidikan kesihatan keracunan metanol disasarkan kepada pekerja di kilang dan ahli keluarga serta rakan mangsa melalui pengedaran risalah, poster, nasihat individu, sesi ceramah, temubual di radio dan informasi secara infografik di media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:03 PM