AHLI keluarga di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Mangsa, Hawa Buyong (gambar kecil) meniggal dunia 11.20 malam tadi. FOTO Muhammad Apendy Issahak/ ihsan keluarga
AHLI keluarga di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Mangsa, Hawa Buyong (gambar kecil) meniggal dunia 11.20 malam tadi. FOTO Muhammad Apendy Issahak/ ihsan keluarga
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Wanita mangsa keracunan makanan selepas makan di gerai di Batu Gajah pada 4 Mac lalu meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, malam tadi.

Mangsa, Hawa Buyong, 47, meninggal dunia 11.20 malam tadi di wad Unit Rawatan Rapi hospital dan kes berkenaan disahkan Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie.

Adik mangsa Arison Buyong, 36, ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB di sini, hari ini berkata, arwah meninggal dunia di sisi ahli keluarga selepas tidak sedarkan diri dan kritikal selama 20 hari sejak dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, arwah masih bujang dan bekerja di stesen minyak di Seri Iskandar, dekat sini dan ahli keluarga reda dengan pemergiannya selepas melihat penderitaannya bertarung nyawa akibat kegagalan otak.

"Arwah mula nazak kira-kira 11 malam tadi dan gagal diselamatkan sebelum doktor mengesahkan kematiannya.

"Kami reda dengan permegiannya, namun berharap kes keracunan makanan ini disiasat dengan teliti dan telus bagi mengenalpasti bagaimana racun 'Carbamate' boleh ada dalam makanan yang dimakan arwah," katanya.

Menurutnya, jenazah arwah selepas selesai dibedah siasat akan dikebumikan di Tanah Peekuburan Islam Siputeh, Tronoh, hari ini.

Dalam kejadian 4 Mac lalu 103 mangsa dilaporkan keracunan makanan selepas makan makanan di gerai di Siputeh, Batu Gajah.

Pada hari pertama kejadian, 37 mangsa dimasukkan ke Hospital Batu Gajah dan HRPB sebelum bilangan itu meningkat kepada 103 orang selepas tampil mendapatkan rawatan akibat mengalami gejala keracunan seperti muntah dan cirit-birit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 11:43 AM