MOHAMMAD Hanafi Rahman, 25. FOTO Ihsan Tular Media Sosial
MOHAMMAD Hanafi Rahman, 25. FOTO Ihsan Tular Media Sosial
Farah Suhaidah Othman


SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, semalam selepas menyertai latihan kecergasan di Kem Changkat, Batu Gajah.

Pada mulanya Allahyarham Mohammad Hanafi Rahman, 25, dibawa ke Hospital Batu Gajah (HBG) sebelum dipindahkan ke HRPB, namun disahkan meninggal dunia pada 6.55 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, Pegawai Pendakwa di Unit Pendakwaan Bahagian Penguat kuasaan JIM Johor itu menyertai latihan kecergasan di kem berkenaan sejak kelmarin.

Katanya, keadaan mangsa bagaimanapun lemah pada pagi semalam untuk meneruskan latihan sebelum dihantar ke HBG.

“Mangsa kemudian dipindahkan ke HRPB pada petang semalam untuk rawatan lanjut sebelum polis menerima maklumat berhubung kematian mangsa daripada pihak hospital.

“Secara luaran, tiada sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat, malah tiada kesan kecederaan luaran pada badan mangsa.

“Bedah siasat sudah dijalankan, namun laporan belum diperolehi. Jenazah Allahyarham sudah dituntut oleh ahli keluarga, semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 2:08 PM