Oleh Murni Wan Omar


Pelakon dan pengarah komedi, Zaid Zahari, 41, gagal mengetepikan perintah hak jagaan sementara anak, Anna Alycia Zaid, 6, yang diperoleh isterinya Anita Hanoum Abdul Kudus, 33, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab menolak permohonan Zaid dan mengekalkan hak jagaan kepada Anita yang berkuat kuasa pada 31 Mac lalu sehingga kes hak jagaan anak mereka selesai.

Mahkamah juga menetapkan 20 November depan untuk perbicaraan terhadap Zaid yang didakwa melanggar perintah mahkamah berhubung hak jagaan anak itu.

Zaid didakwa tidak memulangkan anak itu kepada isterinya sejak Mei lalu.

Sementara itu,peguam syarie Ahmad Badri Hashim yang mewakili Anita memaklumkan bahawa Zaid baru menyerahkan semula anak itu kepada pihak isteri kelmarin.

Zaid diwakili peguam syarie Boestaman Ahmad.

Pada 23 Julai lalu, Zaid mendapat perintah hak jagaan daripada Mahkamah Majistret (Kanak-kanak) Ampang.

Zaid memfailkan permohonan itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila mendakwa anak didera isterinya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak keputusan itu atas alasan hal ehwal anak perlu diputuskan di mahkamah syariah.

Zaid dan Anita Hanoum berkahwin pada Januari 2008 dan dikurniakan seorang anak, Anna Alycia.

Pasangan itu kini dalam proses bercerai apabila isterinya memfailkan tuntutan fasakh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:55 PM