Zatul Iffah Zolkiply


KERAJAAN perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perbezaan hukuman sebatan syariah dan sivil yang jelas banyak perbezaannya bagi mengelak isu sebatan terhadap dua wanita di Terengganu terus menjadi pendebatan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hukuman sebatan terhadap dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis pada Isnin lalu sengaja dijadikan isu panas oleh pihak tertentu untuk tujuan politik, sedangkan hakikatnya hukuman sebatan syariah jauh lebih ringan berbanding sebatan sivil.

“Pihak yang berkaitan sepatutnya mengkaji perbandingan antara sebatan Islam dan sivil sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Saya lihat mereka ini beri kenyataan secara spontan. Saya yakin sekiranya perbandingan dibuat (sebatan syariah dan sebatan sivil), saya percaya orang bukan Islam akan pilih sebatan Islam,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tidak menolak kemungkinan isu sebatan yang berterusan menjadi pertikaian pelbagai pihak bertujuan menutup keputusan pengguguran kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya tidak tahu adakah isu ini (sebatan) sengaja diperbesarkan untuk menutup isu berkenaan. Bagi saya, ada kes yang lebih besar iaitu menggugurkan kes Guan Eng.

“Isu itu lebih besar sedangkan sebatan ini berkait dengan individu, bukannya negeri dan negara berbanding isu pengguguran kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu buat kali pertama menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap pasangan kekasih songsang itu.

Pasangan lesbian yang berasal dari Dungun dan Kuantan, Pahang itu menjalani hukuman enam sebatan setiap seorang apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Selain itu, kedua-duanya didenda RM3,300 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasan Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat berkata, hukuman sebat yang dijalankan terhadap pasangan kekasih songsang itu bersifat mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku serta masyarakat.

Beliau menegaskan hukuman yang dilaksanakan itu bukan untuk mencederakan atau menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya hukuman itu boleh dianggap sebagai amaran kepada masyarakat bagi menjauhi perbuatan maksiat lebih-lebih lagi zina yang ditegah dalam Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 9:42 PM