FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Fadly Samsudin

Mungkin ada segelintir masyarakat kita menyangka hukuman sebatan dilaksanakan Mahkamah Syariah sama seperti hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah).

Sudah pasti ramai berasa ‘ngeri’ apabila membayangkan pelaksanaan hukuman sebat seperti dilaksanakan Mahkamah Sivil kerana kesannya kelihatan begitu menyakitkan.

Jika diberi pilihan, mungkin pesalah lebih rela menukar hukuman sebatan terhadapnya kepada lanjutan tempoh dipenjara.

Kelmarin, sejarah tercipta apabila dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis menerima hukuman rotan yang dijalankan di bilik Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Kesalahan seumpama itu pertama kali berlaku di negara ini. Pelaksanaan hukuman yang diterima dua wanita itu turut disaksikan orang awam dan mendapat liputan meluas media yang diharap dapat memberi pemahaman mengenai kaedah hukuman sebatan dalam Islam.

Selain memberi pemahaman kepada masyarakat Islam, rakyat bukan Islam juga boleh menilai hukuman itu supaya tidak timbul kontroversi atau dakwaan tidak berasas.

Mengenai peralatan sebat, mengikut undang-undang syariah alat yang digunakan adalah daripada rotan atau ranting pokok yang tiada ruas atau buku.

Panjangnya pula tidak melebihi 1.22 meter manakala tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Berbeza dengan pesalah undang-undang sivil, wanita dikecualikan daripada menjalani hukuman itu. Bagaimanapun, pesalah wanita bagi undang-undang syarie tetap dikenakan hukuman.

Cuma prosedur sebatan yang ditetapkan menyanjung tinggi maruah wanita. Antaranya, hukuman dilaksanakan dalam keadaan menutup aurat, disebat dalam keadaan duduk dengan kekuatan sederhana serta kesannya tidak melukakan.

Jelas melaksanakan sebatan dalam undang-undang syariah sebenarnya tidak sepatutnya menjadi halangan. Hukuman itu bertujuan mendidik manusia supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, kaedah sebatan dijalankan menurut Imam Ibn Taimiyyah adalah satu bentuk pukulan sederhana iaitu tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan menggunakan cemeti yang sederhana.

Menurutnya, sebatan juga tidak ditujukan kepada muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan pasti ia tidak melukakan pesalah.

“Kaedah itu menggambarkan sebatan syari’e tidak bertujuan melukakan, apatah lagi menyeksa. Ia adalah proses mendidik.

“Berhubung saranan supaya khalayak menyaksikan hukuman diambil daripada ayat 2, Surah al-Nur bermaksud: “...maka hendaklah sekelompok manusia daripada kalangan orang beriman menyaksikan hukuman kedua-duanya (penzina lelaki dan perempuan).”

“Ketika menghuraikan ayat itu, al-Imam Ibn Asyur menjelaskan, arahan kaum mukminin menyaksikan hukuman adalah bagi menimbulkan rasa takut untuk melakukan kesalahan seterusnya serta menjauhkan diri melakukan kemungkaran,” katanya.

Dr Ahmad Sanusi berkata, disebabkan pentingnya menanamkan rasa sedar dan insaf dalam kalangan masyarakat, Mazhab Hanbali dan Hanafi berpandangan, hukuman sebat mesti dilaksanakan di hadapan khalayak.

“Mazhab Syafi’i dan Maliki pula berpandangan, memadai kehadiran empat saksi bagi menyaksikan hukuman berkenaan.

“Selain itu, al-Imam al-Baidawi memberikan pandangan yang agak menarik. Pendedahan hukuman kepada khalayak lebih utama kerana hukuman yang dijalankan itu tidak memberikan kesakitan fizikal pesalah,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Mahkamah Syariah Negeri Terengganu berjaya melaksanakan proses sebatan syariah itu dalam keadaan baik, tenang dan tanpa tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Musa berkata, Islam dan syariah menyantuni setiap insan walaupun mereka melakukan kesalahan.

“Hukuman sebatan syariah yang dijalankan terhadap dua pelaku itu dalam keadaan berpakaian menutup aurat, melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dulu, ringan serta hukuman juga tidak melukakan.

“Ia membuktikan kepada masyarakat yang hukuman sebat syariah masih melindungi maruah pesalah. Sebab itu, pesalah dibenarkan memakai pakaian dan menutup keseluruhan aurat sama ada lelaki atau wanita.

“Berbeza dengan sebatan sivil dan Barat, pesalah akan dibogelkan dan hanya bahagian kemaluan saja ditutup dengan kain atau cawat selain bahagian punggung pesalah diikat pada abah-abah dengan tali pinggang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu membuktikan sebatan syariah tidak kejam dan zalim sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

“Syarat pelaksanaan hukuman sebatan syariah sebenarnya dikanunkan dalam peruntukan Seksyen 125 dan 126, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Terengganu) 2001 dan juga dalam undang-undang tatacara jenayah syariah negeri lain.

“Kehadiran orang awam ketika pelaksanaan hukuman syariah bukan bertujuan menjatuhkan kehormatan atau memalukan pesalah, tetapi memberi mesej kepada orang ramai mengenai kesalahan dan akibatnya, menimbulkan kegerunan dan pencegahan kepada orang yang menyaksikan serta ia menjadi bualan generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pendidikan Universiti Malaya, Rahimi Md Saad berkata, pelaksanaan sebatan itu sepatutnya membuka mata orang ramai sama ada Muslim atau bukan Islam untuk memahami sistem perundangan jenayah dengan lebih mendalam.

Menurutnya, sistem perundangan Islam sama sekali tidak membenarkan perincian pendakwaan dan pembuktian kesalahan didedahkan kepada awam atau pihak media sedangkan itu perkara biasa dalam perundangan sivil.

“Hanya pelaksanaan hukuman saja dibuat secara terbuka atas dasar pencegahan. Walaupun dibuat secara terbuka, perkara membabitkan maruah peribadi seperti aurat dan seumpamanya tetap dipelihara,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:14 PM