ORANG ramai menyaksikan pameran pesawat milik TUDM sempena Sambutan Ulang Tahun TUDM ke-60 di Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Mikail Ong
ORANG ramai menyaksikan pameran pesawat milik TUDM sempena Sambutan Ulang Tahun TUDM ke-60 di Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Mikail Ong
Shamsul Munir Safini


PANGKALAN Udara Butterworth masih relevan dan akan terus kekal menjadi lokasi strategik angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang berkata, cakap-cakap penduduk kawasan sekitar mengenai pangkalan udara itu akan berpindah adalah tidak tepat kerana kawasan itu akan kekal.

“Tiada isu keselamatan berbangkit di kawasan sekitar dan pangkalan ini akan terus berada di sini.

“Pangkalan ini masih relevan dan akan terus berada di sini,” katanya selepas hadir pada Hari Terbuka TUDM 2018 di Butterworth, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desas-desus sebelum ini bahawa kawasan pangkalan udara itu akan dimajukan sebagai kawasan perumahan.

Katanya, beliau dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong akan memastikan bahawa pangkalan itu akan dikekalkan selagi ia diperlukan.

Menurutnya, dengan adanya program hari terbuka sebegini, orang ramai serta masyarakat tempatan dapat melihat sendiri aset serta tugasan yang dimainkan pegawai dan anggota TUDM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kebanyakan mereka tidak tahu mengenai tugas dimainkan TUDM dan pada hari ini mereka dapat melihat sendiri dan beramah mesra dengan juruterbang serta kakitangan di sini,” katanya.

Beliau berkata, ia juga memberi dorongan motivasi kepada golongan belia bagi menyertai TUDM, tidak hanya sebagai juruterbang malah sebagai warga kerja angkatan tentera.

Sementara itu, Chin Tong berkata, program seumpama itu dapat memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai TUDM.

“Jarang orang ramai dapat masuk dan melihat aset ketenteraan di sini dan hari ini mereka diberi peluang melihat dengan lebih dekat peranan TUDM selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keselamatan negara,” katanya.

Hari terbuka itu diadakan sempena sambutan 60 tahun TUDM dan dihadiri ribuan pengunjung terdiri daripada orang ramai.

Antara program yang dianjurkan kepada orang ramai ialah pertunjukan udara daripada pesawat pejuang TUDM dibarisi Sukhoi SU-30 MKM, F/A-18D Hornet,Hawk 108/208 dan PC-7 MK11.

Orang ramai sanggup berjalan lebih dua kilometer bagi menyaksikan pertunjukan udara yang ditampilkan juruterbang TUDM di situ.

Jalan raya serta lebuh raya utama ke kawasan pangkalan udara itu juga sesak sehingga 10 kilometer berikutan orang ramai datang bersama keluarga.

Affendi berkata, program itu diadakan saban tahun namun kali ini Pangkalan Udara Butterworth dipilih menjadi tuan rumah dan menampilkan hampir keseluruhan aset ketenteraan TUDM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 7:12 PM