PESAWAT pejuang generasi kelima F-35A Lightning II milik RAAF menyertai latihan bersama TUDM di Butterworth, Pulau Pinang.
PESAWAT pejuang generasi kelima F-35A Lightning II milik RAAF menyertai latihan bersama TUDM di Butterworth, Pulau Pinang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Disifatkan antara pesawat pejuang 'halimunan' (full stealth) terhebat di dunia dengan kemampuan mencapai kelajuan maksimum Mach 1.6 atau 1,960 kilometer sejam.

Ternyata kehebatan pesawat pejuang generasi kelima F-35A Lightning II milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) itu dipertontonkan pada Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) Siri 9/22 membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang.

Latihan dua negara itu bermatlamat menguji dan menambah baik integrasi kuasa udara dan kesiapsiagaan di antara tentera udara kedua dua negara.

Kehadiran pesawat hipersonik Lockheed Martin F-35 Lightning II milik RAAF disifatkan penyertaan terhebat susulan reputasi pesawat itu yang 'kalis' radar dan mampu melakukan pengeboman taktikal serta penguasaan udara.

Dua pesawat F-35A milik RAAF, A35-029 and A35-041 daripada No 75 Skuadron Pangkalan Udara Tindal, Australia itu selesai menjalani latihan bersama TUDM kelmarin.

ANTARA anggota tentera yang terlibat dalam Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE Siri 9/22 di Butterworth, Pulau Pinang.
ANTARA anggota tentera yang terlibat dalam Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE Siri 9/22 di Butterworth, Pulau Pinang.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM memaklumkan, Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE Siri 9/22 ditutup secara rasmi dalam acara perbarisan penutup bertempat di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Perbarisan Penutup eksesais itu disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM dan Komander RAAF, Marshall Darren Goldie yang menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan membabitkan 45 pegawai dan anggota lain-lain Pangkat (LLP) daripada daripada kontinjen TUDM dan RAAF.

Majlis diiringi Pancaragam Akademi Tentera Udara dipimpin Leftenan Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.

Turut hadir ke perbarisan penutup adalah Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datuk Mahadzer Amin TUDM, Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Shamsudin Kassim TUDM, delegasi RAAF dan Kedutaan Australia serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.

Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana TUDM menjadi tuan rumah bagi eksesais bilateral pada tahun ini.

TUDM juga amat menghargai dan berbesar hati apabila Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini serta mengalu-alukan kehadiran pesawat F-35A RAAF dari No 75 Skuadron.

Difahamkan latihan Elangaroo ini akan menyaksikan integrasi pelbagai plaform peperangan udara merentasi geografi dan cuaca yang mencabar di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:00 AM