Formasi pesawat pejuang TUDM terbabit dalam latihan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19). FOTO Danial Saad.
Formasi pesawat pejuang TUDM terbabit dalam latihan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19). FOTO Danial Saad.
Danial Saad


“Lebih hebat dan luar biasa,” kata seorang peminat tegar pesawat pejuang yang menyaksikan latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pangkalan Udara (PU) Butterworth, semalam.

Difahamkan latihan yang berlangsung sejak 13 Mac lalu, membabitkan beberapa buah pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.

Rizal Hashim, 46, berkata, hampir setiap hari dari awal pagi beliau bersama rakan-rakannya akan berkumpul sekitar pangkalan udara itu untuk menyaksikan latihan berkenaan.

“Setiap kali menjelang LIMA, kami memang menantikan latihan dilakukan TUDM. Aksi kali ini memang lebih hebat dan luar biasa berbanding sebelum ini.

“Saya sanggup berjemur bawah panas terik kerana teruja melihat aksi membabitkan beberapa pesawat pejuang terutamanya Sukhoi SU-30MKM,” katanya.

Rizal yang bekerja sendiri berkata, dia tidak pernah ketinggalan menyaksikan latihan itu sejak penganjuran LIMA 2001.

Kini dia dan rakan-rakannya mewujudkan kumpulan WhatsApp serta kumpulan Facebook dengan nama ‘Geng Bawah Radar’ untuk berkongsi maklumat mengenai latihan dijalankan TUDM.

Sementara itu, Azizal Adnan, 37, berasal dari Tasek Gelugor, turut mengakui persembahan udara daripada TUDM kali ini memang hebat ditambah dengan aksi-aksi luar biasa yang belum pernah dilihat.

“Memang minat sangat dengan pesawat pejuang TUDM, sampai dapat cam jenis pesawat berdasarkan bunyinya.

“Saya lebih tertarik dengan aksi persembahan udara gabungan SU-30MKM dan F/A-18D Hornet,” katanya yang meminati pesawat pejuang sejak latihan LIMA 2013.

Tinjauan di sekitar Pangkalan Udara Butterworth mendapati kawasan itu dipenuhi orang ramai yang menyaksikan latihan berkenaan meskipun cuaca panas.

Latihan itu turut membabitkan simulasi letupan bom yang dibuat secara terkawal sempena gimik perasmian.

Pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991 dijadual berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mac ini.

Pameran terbesar maritim dan aeroangkasa di Asia Pasifik itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) dan Resort World Langkawi dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

Aset TUDM terbabit dalam pertunjukan adalah SU-30MKM sebanyak enam buah, F/A-18D Hornet (4), Hawk 108/208 (6), pesawat pengangkut A400M (3), PC 7 MKII (8) dan helikopter EC-725 (3) serta Sikorsky S-61A-4 Nuri (2).

Difahamkan, antara kelainan dan pembaharuan yang dilakukan TUDM pada tahun ini ialah aksi solo pesawat pengangkut A400M dan persembahan udara gabungan SU-30MKM dan F/A-18D Hornet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 4:44 PM