ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Farah Suhaidah Othman

Tapah: Pemandu dan kelindan lori maut selepas kenderaan mereka naiki merempuh belakang treler dalam kejadian di Kilometer 348 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 9.20 pagi itu, Lye Zhi Hao, 27, yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso dan kelindannya, Chew Huang Chen, 32, maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler masih belum dikenal pasti berikutan tiada di lokasi sejurus kejadian terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian berkenaan treler terbabit dikatakan berhenti di lorong kecemasan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati treler dan lori berkenaan dalam perjalanan dari utara menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian dikatakan lori dinaiki mangsa merempuh bahagian belakang treler berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, pemandu dan kelindan parah dan tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mereka itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan lebuh raya lurus dan mempunyai dua lorong manakala kedua-dua kenderaan berat itu masih berada di lokasi kejadian ketika ketibaan polis.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya yang menerima laporan itu kemudiannya bergegas ke lokasi.

Menurutnya, mereka terpaksa bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit.

Katanya, mayat mereka itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada jam 10.57 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:43 AM