Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan masih mengekalkan had laju di negara ini iaitu 110 kilometer per jam (km/j) dan tidak bercadang menaikkannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan secara amnya, belum bercadang meningkatkan had laju dan masih ditetapkan kekal 110km/j.

"Untuk makluman, bidang kuasa menetapkan had laju ini bukannya di bawah Kementerian Pengangkutan tetapi ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai statistik kesalahan melanggar kamera perangkap had laju di seluruh negara dan adakah kementerian bercadang menaikkan had laju kepada 120km/j.

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sebanyak 556,055 notis dikeluarkan pada 2023 bagi kesalahan melebihi had laju membabitkan Kamera Perangkap Had Laju (AwAS) di seluruh negara.

Katanya, bagi lokasi yang merekodkan ramai pemandu melebihi had laju adalah di KM382.8 Lebuhraya PLUS - Behrang (arah selatan) iaitu 98,911 notis dikeluarkan di antara Jun hingga Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 1:08 PM