NURUL Izzah ketika majlis Tandatangan COC (Certification Of Collaboration) antara Politeknik Seberang Perai dengan wakil industri. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
NURUL Izzah ketika majlis Tandatangan COC (Certification Of Collaboration) antara Politeknik Seberang Perai dengan wakil industri. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad

“MARI kita teruskan kritikan membina terhadap kerajaan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah berkata, beliau menyedari bahawa aduan berhubung kenaikan harga barang selepas pelaksanaan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, katanya, rakyat diminta terus mengkritik supaya dapat mengingatkan kepada kerajaan sekali gus membantu untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“SST ini masih terlalu awal dan pelbagai aduan sudah mula diterima bahkan dijangka akan terus meningkat.

“Jadi, mari kita teruskan memberi kritikan membina kepada kerajaan termasuk diri saya sebagai wakil rakyat untuk membuat apa yang termampu bagi mengingatkan kerajaan apa yang perlu diperbaiki,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan cukai SST di Bukit Mertajam, hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah meluangkan masa lebih 30 minit untuk menyaksikan Kolaborasi Strategik Bersama (COC) yang termeterai antara Politeknik Seberang Perai (PSP) dengan sembilan industri bagi memperkukuhkan bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Rakyat di seluruh negara semalam menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap pelaksanaan SST kerana didakwa ia sama seperti cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Rata-rata mereka memuatnaik status dan resit pembayaran di laman sosial dengan mendakwa bahawa SST tidak mempunyai apa-apa beza seperti GST yang disifatkan terus memberi bebanan terhadap rakyat.

Antara yang paling membuatkan rakyat tidak berpuas hati adalah mengenai isu tambah nilai kad prabayar yang turut dikenakan SST, restoran mamak dan restoran makanan segera yang didakwa mengenakan caj tidak munasabah.

Mengikut senarai yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan kira-kira 5,443 barangan dikecualikan SST antaranya tambah nilai prabayar, ubat-ubatan dan barang keperluan seperti beras, minyak, gula, kopi serta gula.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, senarai barangan yang dikenakan SST masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana beberapa pindaan mungkin terpaksa dilakukan bergantung kepada maklum balas yang diterima daripada orang ramai.

Antara barangan terbabit termasuk aksesori kereta, tayar celup dan beberapa barangan lain.

Beliau berkata, walaupun senarai barangan masih belum muktamad namun kerajaan terpaksa melaksanakan cukai SST itu kerana tidak mempunyai pilihan berikutan keadaan kewangan negara berada pada tahap defisit hingga dikhuatiri tidak cukup untuk membayar hutang.

Pix: Shahnaz Fazlie Shahrizal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:25 PM