GAMBAR arkib NSTP. FOTO Khairull Azry Bidin
GAMBAR arkib NSTP. FOTO Khairull Azry Bidin
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SISTEM cukai sedia ada, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak semestinya perlu diganti semula dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya ia hanya memerlukan penambahbaikan.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana jika kembali kepada GST, seolah-olah menonjolkan polisi kerajaan yang ‘flip flop’, berubah-ubah.

“Ia bagaikan kerajaan tidak melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan cukai SST.

“Namun, isunya di sini adalah adakah perlu untuk kita tukar balik kepada sistem cukai lama (GST)?.

“Kerajaan mungkin tidak perlu merombak SST tetapi lakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan ia lebih berkesan untuk kepentingan semua pihak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Barjoyai, antara masalah utama SST adalah liputannya tidak meluas, bukan seperti GST yang lebih menyeluruh.

Justeru, kata beliau, apa yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan ketika ini adalah terhadap aspek ‘hakisan’ dalam percukaian bagi mengelakkan pihak tertentu lari daripada membayar cukai.

“Bagi mengatasi isu hakisan dalam percukaian, kita perlu mengetatkan lagi aspek kawalan dan penguatkuasaan.

“Selain itu, masalah SST juga membabitkan ‘snow ball effect’ dan ‘cascading impact’.

“Jika kerajaan dapat memberi kredit ke atas cukai yang sudah dibayar di peringkat sebelumnya, ia pastinya lebih baik,” katanya.

Barjoyai berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah seperti yang dicadangkan oleh pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram iaitu menjadikan SST sebagai cukai yang lebih progresif iaitu memberi tumpuan lebih kepada kumpulan berpendapatan tinggi yang mampu untuk membayar cukai.

“Contohnya cukai lebih tinggi untuk barangan mewah, penginapan hotel lima bintang atau penerbangan kelas pertama, manakala tiada cukai untuk pengguna berpendapatan rendah," katanya.

Begitupun, Barjoyai mengakui, sistem cukai GST juga sebenarnya memiliki banyak kelebihan dan antaranya dapat mengelakkan cukai daripada bertimbun dan mengatasi isu pihak yang lari dari membayar cukai.

Kata beliau, berdasarkan pemerhatiannya, masyarakat kini ramai yang mahu kembali ke sistem cukai lama (GST) kerana berpendapat keputusan kerajaan untuk memperkenalkan SST adalah silap kerana ia tidak menghasilkan penurunan harga seperti diharapkan.

“Ketika GST dulu, meskipun harga barang menjadi isu tetapi pendapatan kerajaan bertambah kira-kira RM20 bilion dan ia dapat digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan, jadi rakyat dapat merasai sesuatu.

“Tetapi kini, harga barang tidak turun, manakala pendapatan kerajaan juga berkurang dan rakyat tidak merasai perbezaannya,” katanya.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula pada 1 April 2015 sebelum ditetapkan pada kadar sifar pada Jun 2018, manakala SST diperkenalkan semula pada 1 September tahun lalu.

Selain Malaysia, lebih 160 negara di dunia turut melaksanakan GST.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersedia untuk mengkaji semula pelaksanaan GST bagi melihat sama ada ia lebih baik daripada SST.

Kata Dr Mahathir, jika itu kehendak rakyat, kerajaan akan kaji sama ada GST lebih baik dari SST ataupun tidak.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sebelum ini turut menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman pula berpendapat kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula GST dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Kata Ahmad Yazid, jika wujud keperluan memperkenal semula cukai itu, tidak salah untuk melaksanakannya dan mengetepikan alasan politik.

“Berdasarkan data, tidak dapat dinafikan bahawa sistem GST paling popular diguna pakai di dunia kerana lebih mudah dan membantu kerajaan mempunyai pendapatan yang cukup untuk berbelanja,” katanya.

Selain itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dalam kenyataannya sebelum ini, berkata, GST menyumbang kira-kira RM44 bilion kepada pendapatan negara pada 2017.

“SST pula menyumbang kira-kira RM22 bilion, iaitu kekurangan pendapatan kira-kira RM22 bilion berikutan peralihan kepada SST,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 7:31 PM