Muhammad Apendy Issahak


PEMANDU bas ekspres yang terbabit kemalangan di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Gopeng semalam didakwa di Mahkamah Majistret Kampar hari ini kerana memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian seorang penumpang bas.

N Shasi Kumar, 41, didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.45 pagi semalam hingga mengakibatkan seorang penumpang wanita Chan Kwai Fah, 43, meninggal dunia.

Shasi Kumar yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurafiqah Abd Aziz bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Oon Kork Chern dihadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dan lesen memandu diserah kepada mahkamah.

N SHASI KUMAR didakwa di Mahkamah Majistret Kampar kerana memandu bas secara melulu hingga mengakibatkan seorang penumpang maut. FOTO Abdullah Yusof
N SHASI KUMAR didakwa di Mahkamah Majistret Kampar kerana memandu bas secara melulu hingga mengakibatkan seorang penumpang maut. FOTO Abdullah Yusof

Tertuduh merayu jaminan minimum diberikan kerana perlu menanggung empat anak berusia 12, 10, lapan dan setahun manakala isterinya hanya suri rumah.

Majistret membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesennya diserah kepada mahkamah hingga kes selesai.

Kes ditetapkan bagi sebutan semula pada 28 Disember ini.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang penumpang bas maut manakala 13 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan dua lori di Kilometer 294.7 PLUS arah utara berhampiran Gopeng.

Mangsa yang duduk ditempat duduk penumpang di bahagian tingkat atas bas terbabit meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, ketika menerima rawatan.

Berita berkaitan:

14 cedera kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:52 AM