BAS berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BAS berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Teoh Pei Ying

PEMANDU bas dan seorang penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kilometer 298 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Bangi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, pemandu bas, Amir Hamzah Zakaria, 60, dan seorang penumpang bas ekspres, Ahmad Nur Mohd Mohdi, 59.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.15 pagi.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati pemandu dan penumpang terbabit cedera sebelum diberikan rawatan awal di bahu jalan lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rizal berkata, ketika kejadian, terdapat 17 penumpang, seorang pemandu bas dan seorang pembantu pemandu dalam bas ekspres berkenaan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres itu terbabas lalu terbalik di tepi jalan lokasi terbabit.

"Seorang penunggang motosikal, Buchari Mohd Said, 58, yang melalui lokasi kemalangan terjatuh dan cedera," katanya.

Katanya, semua penumpang lain dan pembantu bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:05 AM