BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemandu pertama dan kedua bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran Bangsar, di sini tengah malam tadi disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kedua-dua pemandu berkenaan dibebaskan selepas selesai diambil keterangan pada 4.45 pagi di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu berkenaan turut diambil sampel darah dan air kencing bagi ujian toksikologi oleh Jabatan Kimia.

"Dalam kemalangan pada 12.05 tengah malam itu bas yang membawa 24 penumpang dari Ipoh, Perak menuju Singapura itu hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar tembok konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik ke sebelah kiri di laluan sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kemalangan itu, 19 penumpang mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan manakala pemandu dan pemandu kedua bas itu serta lima penumpang lain tidak cedera.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee menerusi talian 03-20719999 atau Hotline Trafik Kuala Lumpur 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Dalam kejadian tengah malam tadi, bas ekspres dua tingkat itu terbabas sebelum terbalik di susur Jalan Damansara menuju Bangsar, di sini.

Berita berkaitan

Bas ekspres terbalik, 26 penumpang terselamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 5:42 PM