SEBAHAGIAN daripada rangka motosikal yang ditemui dalam kolam di kebun kelapa sawit di Jalan FELDA Lok Heng, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada rangka motosikal yang ditemui dalam kolam di kebun kelapa sawit di Jalan FELDA Lok Heng, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


POLIS menumpaskan kumpulan curi motosikal terbesar di daerah ini selepas menahan tiga anggota Geng Cebol dan menemui 51 rangka motosikal bernilai RM200,000 yang dibuang dalam kolam kecil di kebun kelapa sawit di Jalan FELDA Lok Heng, Kota Tinggi, hari ini.

Kolam kecil dikenali dengan jolokan nama ‘Tasik Love’ dipercayai menjadi lokasi rahsia kumpulan itu melupuskan rangka motosikal sejak lima tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ashmon Bajah berkata, suspek berusia 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 20 dan 25 Ogos lalu.

Katanya, kejayaan terbesar membabitkan penahanan tiga ahli Geng Cebol itu dibuat dalam risikan diketuai Pegawai Risikan Operasi Inspektor P Davendran bersama enam anggota.

“Hasil siasatan terhadap tiga anggota Geng Cebol itu, pasukan khas menemukan 51 rangka motosikal di sebuah tasik bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang hari ini.

“Kejayaan ini adalah yang terbesar tahun ini sekali gus menumpaskan geng curi motosikal yang aktif di kawasan Kota Tinggi,” katanya.

ANGGOTA polis melakukan pencarian dalam kolam di kebun kelapa sawit. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan pencarian dalam kolam di kebun kelapa sawit. FOTO Ihsan PDRM

Menurutnya, suspek dipercayai mencuri motosikal diletakkan di tepi jalan dan luar kediaman, sebelum meleraikannya sebelum enjin dijual kepada rakan mereka di Kota Tinggi dan daerah berhampiran.

Katanya, pelbagai rangka motosikal ditemui dan berdasarkan penemuan rangka motosikal terbabit, pihaknya percaya kolam itu menjadi rahsia kumpulan terbabit melupuskan rangka motosikal curi sejak lima tahun lalu.

“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai hubung kait dengan kumpulan lain yang ditumpaskan sebelum ini.

“Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 6:49 PM