Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tangkapan lima anggota Geng Cepet membawa penemuan rangka dan komponen motosikal curi dalam serbuan di sebuah bengkel di Sungai Petani, bulan lalu.

Serbuan dilakukan pada 5 petang 19 Oktober lalu membongkar kegiatan kumpulan itu yang terbabit dalam aktiviti mencuri motosikal di empat daerah di Kedah, selain di Pulau Pinang dan Selangor.

Difahamkan, bengkel motosikal itu hanya beroperasi di bahagian depan, manakala bahagian belakang premis dijadikan tempat menyimpan komponen motosikal curi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, serbuan Ops Lejang Bersepadu dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas melakukan risikan hasil maklumat awam.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 19 hingga 50-an itu ditahan dalam siri serbuan sehingga 31 Oktober lalu untuk membantu siasatan kes terbabit.

"Polis merampas 24 enjin dan rangka motosikal yang masih berstatus hilang, selain 30 enjin, enam rangka dan sebuah motosikal yang casisnya sudah dicanai.

"Selain itu turut ditemui ialah 44 komponen lain motosikal dan sebuah mesin 'puncher' untuk menghilangkan nombor casis dan nombor enjin asal," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati 14 enjin dan rangka motosikal itu dilaporkan hilang di Kota Setar, empat enjin dan rangka motosikal (Kuala Muda) serta tiga enjin dan rangka motosikal (Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang).

"Selain itu, sebuah enjin dan rangka motosikal dilaporkan hilang di daerah Kubang Pasu dan sebuah enjin dan rangka motosikal dilaporkan hilang di daerah Pendang," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan itu tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah

Katanya, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal di daerah Kota Setar sejak 2018.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

SUPERINTENDAN Mohd Redzuan Salleh menunjukkan rangka, komponen dan enjin motosikal curi yang ditemui di sebuah bengkel dalam serbuan Op Lejang Oktober lalu. FOTO Zuliaty Zukiffli
SUPERINTENDAN Mohd Redzuan Salleh menunjukkan rangka, komponen dan enjin motosikal curi yang ditemui di sebuah bengkel dalam serbuan Op Lejang Oktober lalu. FOTO Zuliaty Zukiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:03 PM