AHMAD Tarmizi yang dirawat di Hospital Lipis berada dalam keadaan ceria dan semakin pulih ketika ditemui. FOTO Nazirul Roselan
AHMAD Tarmizi yang dirawat di Hospital Lipis berada dalam keadaan ceria dan semakin pulih ketika ditemui. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan


RENJER Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Tarmizi Mohd Japli yang hilang dua minggu di Hutan Simpan Taman Negara, Jerantut, tidak mengalami sebarang kecederaan dan gigitan serangga.

Ahmad Tarmizi, 30, yang dirawat di Hospital Kuala Lipis berada dalam keadaan stabil dan kesihatannya semakin pulih. Beliau dijangka dibenarkan keluar Rabu ini.

Namun, beliau yang ditemui ahli keluarganya di hospital berkenaan masih enggan memberi sebarang komen dan tidak mahu ditemuramah oleh pihak media.

"Minta maaf saya tidak mahu (ditemuramah), lain kali sahaja," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lipis.

Ahmad Tarmizi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan hilang sejak 11 Ogos lalu, selepas memasuki hutan berkenaan bersama tujuh rakannya bagi melakukan kerja pemasangan kamera sempena Kajian Program Harimau Kebangsaan Kali-Pertama yang bermula di FELDA Kechau 11, dekat Kuala Lipis.

Ketika perjalanan pulang ke kem utama mangsa yang berpecah dan berjalan bersama seorang rakannya melalui jalan sungai sambil memasang kamera terpisah sebelum disedari rakannya.

Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan lemah, Sabtu lalu berhampiran anak sungai kira-kira lima kilometer daripada kem utama.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih selepas ditemukan dalam keadaan lemah ketika ditemui.

"Pihak hospital sudah mengambil sampel darah mangsa bagi ujian lanjut dan mangsa berada dalam keadaan sihat. Kita masih terus memantau keadaan mangsa yang dijangka akan dibenarkan keluar Rabu ini,"katanya ketika dihubungi, di Kuala Lipis, hari ini.

Berita berkaitan

Renjer kata dia berdebar, gementar'

'Misteri betul...'

Syukur, Tarmizi berjaya ditemui...

Belum jumpa Tarmizi

[UPDATE] 'Dia antara Renjer PERHILITAN terbaik'

Moga Tarmizi berjaya ditemui...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 5:57 PM