TARMIZI yang hilang sejak dua minggu lalu ditemui semula, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
TARMIZI yang hilang sejak dua minggu lalu ditemui semula, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan


RENJER Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Tarmizi Ahmad Japli, 30, yang dilaporkan hilang di Hutan Simpan Yong, Taman Negara sejak 11 Ogos lalu ditemui selamat, hari ini.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, mangsa ditemui jam 4 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak lima kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang, sebelum ini.

“Mangsa ditemui selamat, namun berada dalam keadaan lemah dan keletihan. Mangsa akan dibawa ke ‘base camp’ untuk pemeriksaan lanjut dan berehat.

“Dia (mangsa) dijangka akan dibawa keluar menggunakan helikopter pagi esok untuk dihantar ke Hospital Lipis bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Keluarga renjer berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, namun mereka enggan mengulas lanjut.

Tarmizi dilaporkan hilang selepas terpisah dari rakannya ketika menyertai aktiviti kaji selidik harimau di kawasan hutan berkenaan.

Mangsa dikatakan seorang daripada tujuh individu terbabit dalam program Kaji Selidik Harimau Kebangsaan Kali Pertama yang bermula di FELDA Kechau 11, Lipis.

Mangsa dihantar ke Taman Negara pada 8 Ogos lalu, dan mereka dijangka menyiapkan kaji selidik di Hutan Simpan Yong antara 10 atau 14 hari.

Ketika hilang, Tarmizi membawa beg belakang yang mengandungi air mineral dan juga beberapa paket coklat.

Berita berkaitan

Belum jumpa Tarmizi

[UPDATE] 'Dia antara Renjer PERHILITAN terbaik'

Moga Tarmizi berjaya ditemui...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 7:04 PM