MOHAMAD Sofian Dochik, 70, (tiga kiri) ketika menerima pingat perkhidmatan cemerlang di Sandakan, Sabah pada 1989. FOTO D J Dolasoh
MOHAMAD Sofian Dochik, 70, (tiga kiri) ketika menerima pingat perkhidmatan cemerlang di Sandakan, Sabah pada 1989. FOTO D J Dolasoh
D J Dolasoh


MEMIKUL mayat komunis sejauh tujuh kilometer dan tertidur di sebelah mayat pada waktu malam menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan Sarjan Mohamad Sofian Dochik, 70, sepanjang hampir 23 tahun berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Peristiwa pada pertengahan Disember 1970 itu berlaku ketika dia bersama lapan anggotanya memasuki hutan Kampung Alai, Jeli, Kelantan bagi membuat Operasi Gerak Gempur terhadap kumpulan komunis.

"Sebaik kumpulan komunis menyedari kehadiran kami, berlaku pertempuran dan kami berjaya menembak mati dua komunis membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan umur awal 30-an.

"Saya memikul mayat lelaki, manakala rakan saya memikul mayat wanita untuk dibawa ke lokasi pendaratan helikopter sejauh kira-kira tujuh kilometer," kata Mohamad Sofian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Dinding, Lenggong.

Mohamad Sofian berkata, walaupun bangga kerana berjaya membunuh dua komunis, tetapi dia sedikit terkilan kerana wanita yang terbunuh itu sedang mengandung dan mereka sepakat memikul kedua-duanya untuk dibawa keluar dari lokasi.

Katanya, dia dan rakan yang memikul mayat berkenaan bermula 3.45 petang kepenatan selepas tiga jam membawa dua jasad komunis itu.

Menurutnya, mereka kemudian mengambil keputusan bermalam di satu lokasi dengan mayat diletakkan di tengah-tengah antara dia dan rakan lain bagi mengelak ancaman binatang buas.

MOHAMAD Sofian Dochik, 70, menunjukkan gambar beliau ketika bertugas. FOTO D J Dolasoh
MOHAMAD Sofian Dochik, 70, menunjukkan gambar beliau ketika bertugas. FOTO D J Dolasoh

"Ketika memikul mayat itu, saya dengar bunyi pada badan mayat seolah-olah masih hidup selain badan saya penuh berlumuran darah dan bau darahnya yang sangat menusuk hidung.

"Selepas subuh keesokannya, kami meneruskan perjalanan dan saya seorang memikul mayat musuh itu meskipun ada rakan lain yang mahu bergilir-gilir memikul mayat itu," katanya yang turut kesal kerana kedua-dua komunis yang terkorban itu adalah berbangsa Melayu.

Mohamad Sofian berkata, selain pengalaman memikul mayat komunis itu terdapat beberapa peristiwa yang menjadi kenangan hingga akhir hayatnya termasuk ketika menyertai operasi di Bukit Berapit, Kroh (Pengkalan Hulu sekarang) pada 1975, apabila tujuh rakan seperjuangan terkorban ditembak musuh.

Menurutnya, dia bagaimanapun terselamat dalam peperangan dianggap sengit itu.

"Dalam satu lagi operasi di Kampung Alai, Gerik pada 1980 pula, kejadian aneh berlaku apabila rakannya menembak musuh berpakaian jubah hijau, namun tidak mati walaupun ditembak beberapa kali menyebabkan dia mengajak rakannya segera meninggalkan lokasi itu," katanya.

Mohamad Sofian akui, bertempur sebanyak enam kali dengan komunis sepanjang hampir 23 tahun berkhidmat iaitu dari tahun 1969 sehingga bersara pada 8 Februari 1992, adalah pengalaman mengerikan dan bersyukur tiada lagi ancaman komunis.

Antara tempat pertempurannya dengan komunis adalah di Semantan, Sarawak (Mac 1970); Jeli, Kelantan (Disember 1970); Klian Intan, Kroh, Perak (1973); Bukit Berapit, Kroh (1975); Sik, Kedah (November 1977) dan di Kampung Alai, Gerik (1980).

Selepas pencen, Mohamad Sofian kini mengusahakan tanah kebun di sekitar rumahnya di samping menolong isterinya Azizah Wook, 63, mengusahakan jualan di kantin sekolah menengah di pekan Lenggong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:19 PM