KESEMUA pelatih yang diserang strok haba dikejarkan ke beberapa hospital untuk rawatan. FOTO Amrullah Abdul Karim
KESEMUA pelatih yang diserang strok haba dikejarkan ke beberapa hospital untuk rawatan. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim


SERAMAI 61 pelatih Pusat Latihan Polis ( PULAPOL) Bukit Sentosa di Kuala Kubu Bharu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan, hari ini.

Daripada jumlah itu, 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital.

Kesemua mereka dikejarkan ke beberapa hospital sekitar Selangor serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans untuk rawatan kecemasan.

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila pelatih terbabit ditempatkan dalam bas di bawah terik matahari sebagai sebahagian daripada latihan kira-kira 1 tengah hari tadi.

"Seramai 12 pelatih mengalami pengsan serta sawan. Berikutan itu, Jabatan Kecemasan & Trauma, Hospital Sungai Buloh ( HSB ) mengaktifkan Pelan Kecemasan MCI (mass casualty incidence) membabitkan hospital itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang (HS), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam sejurus menerima laporan," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah mangsa itu, 16 pelatih ditempatkan di zon merah (kritikal), seorang di zon kuning dan 44 di zon hijau.

"Tiga mangsa yang kritikal dirujuk ke HSB, tiga mangsa dirawat ke HKL, dua di HS, dua di HTAR dan enam mangsa dirawat di beberapa hospital lain.

"Satu mangsa dirawat di zon kuning manakala 44 mangsa yang mengalami kesan ringan ditempatkan dalam bangunan berhawa dingin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai ketika dihubungi wartawan berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pengesahan hanya boleh diperoleh daripada pihak pusat latihan berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 7:36 PM