GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Dua pengedar dadah menyewa kereta sejak dua tahun lalu bagi menjalankan kegiatan mereka di sekitar Sungai Way di sini.

Bagaimanapun, hasil risikan, kedua-duanya ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Sungai Way Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 33 dan 34 tahun ditahan ketika berada dalam Kia Picanto.

"Pemeriksaan dalam kereta menemui dua plastik berisi ganja seberat dua kilogram dianggarkan bernilai RM10,000.

"Suspek didapati menyewa kereta melalui aplikasi mudah alih untuk mengedar dadah. Kia Picanto itu kami sita untuk siasatan lanjut," katanya pada kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek juga positif ganja dan seorang daripadanya memiliki tiga rekod jenayah lampau.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas satu bungkusan ganja seberat satu kilogram hasil penahanan dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun di Bandar Damansara Perdana.

"Ganja bernilai kira-kira RM5,000 itu diletak dalam bekas pada motosikal ditunggang suspek.

"Suspek aktif mengedar dadah di sekitar Bandar Damansara Perdana dan Sungai Penchala," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek positif ganja dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:13 PM