DADAH yang ditanam sedalam satu meter di tanah terbiar di Subang Jaya ditemui hasil penahanan lelaki warga Indonesia, Isnin lalu. FOTO ihsan polis
DADAH yang ditanam sedalam satu meter di tanah terbiar di Subang Jaya ditemui hasil penahanan lelaki warga Indonesia, Isnin lalu. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tanam dadah dalam lubang sedalam satu meter di kawasan tanah terbiar.

Itu dilakukan sindiket pengedaran dadah bagi mengelakkan bahan berkenaan dikesan pihak berkuasa.

Mereka turut dipercayai mengupah tukang kebun untuk menjaga bahan terlarang yang disorok itu.

Bagaimanapun tindakan itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur melakukan serbuan di Subang Jaya, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan menahan lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di kawasan berkenaan.

"Susulan tangkapan itu, polis menemui 56 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan satu kg syabu di dalam bekas yang ditanam dengan kedalaman satu meter di kawasan tanah terbiar.

"Ganja berkenaan bernilai RM166,000 manakala syabu yang dirampas bernilai RM26,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan ke atas individu yang ditahan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Suspek berperanan menjaga bekalan dadah yang ditanam. Hasil ujian saringan awal, polis dapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:43 PM