GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hamzah Osman


PEMANDU pelancong ditahan bersama ganja seberat 861.0 gram di Kampung Perana, Mukim Ulu Melaka di Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Balai Kuah, Ayer Hangat dan Kuala Teriang.

Katanya, sepasukan anggota polis yang menyertai Ops Tapis menahan lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pemandu pelancong di hadapan bilik di Kampung Perana di Alor Setar, kira-kira 12 tengah malam.

"Melihat kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sambil mencampak beg dipegangnya ke lantai, sebelum ditahan.

“Pemeriksaan dalam beg terbabit menemui dua ketulan ganja mampat yang dibalut plastik lutsinar seberat 861.0 gram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang juga penduduk tempatan dan positif dadah methamphetamine itu, turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Ganja yang dirampas dipercayai untuk edaran sekitar Langkawi.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:27 AM