Saidon Idris

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di The Great Hall of the People, Beijing, pagi ini, bagi upacara sambutan rasmi sempena lawatan lima harinya ke China.

Beliau yang tiba di Hangzhou pada Jumaat disambut Perdana Menteri China, Li Keqiang. Kedua-dua pemimpin kemudian mengetuai mesyuarat delegasi seterusnya menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda pengukuhan kerjasama strategik Kuala Lumpur dan Beijing.

MoU itu meliputi kerjasama dalam bidang pertanian dan agrikomoditi. Ini adalah lawatan pertama Dr Mahathir ke China selepas dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri.

Beliau sudah mengadakan lawatan ke China sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

DR Mahathir pada upacara sambutan rasmi di The Great Hall of the People
DR Mahathir pada upacara sambutan rasmi di The Great Hall of the People

Lawatan Dr Mahathir kali ini yang dibuat atas undangan Li Keqiang dilihat sebagai mercu tanda baharu kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-China. Ia bakal memacu hubungan lebih mantap antara kedua-dua negara terutama dalam politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.

Turut serta dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof; dan pegawai kanan Kerajaan.

Petang ini, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat delegasi dengan Presiden Xi Jinping di Diaoyutai State Guest House.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:06 AM