ANWAR bersama Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing hari ini bagi meneruskan lawatan rasmi ke China selepas menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan. FOTO Bernama
ANWAR bersama Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing hari ini bagi meneruskan lawatan rasmi ke China selepas menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan. FOTO Bernama
BERNAMA

Beijing: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Khamis untuk meneruskan lawatan rasmi tiga hari bagi memajukan kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Pesawat khas yang membawa Anwar dari Hainan, mendarat di Beijing Capital International Airport pada 4.30 petang waktu tempatan.

Beliau diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan mereka disambut Naib Menteri Luar China Sun Weidong.

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta Timbalan Ketua Kedutaan Besar Malaysia di China Sanmugan Subramani.

Anwar akan bertemu Presiden China Xi Jinping pada Jumaat, yang mereka dijangka akan membincangkan elemen strategik hubungan dua hala dan melakar laluan untuk mengeratkan semula hubungan dalam era pascapandemik dengan mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar.

Beliau juga dijadual bertemu Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China Zhao Leji.

Pada Sabtu, Anwar akan diraikan oleh Perdana Menteri China yang baharu dilantik Li Qiang dengan upacara sambutan Rasmi di Great Hall of the People dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian tiga MoU untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi penglibatan dengan pelabur berprofil tinggi serta ketua industri China dan juga akan menyampaikan ucaptama di forum perniagaan Malaysia-China.

Lawatan sulung rasmi Anwar ke negara ini, sejak menjadi Perdana Menteri pada November lalu juga bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini manakala kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

Lawatan itu adalah bersejarah, menurut Kementerian Luar kerana ia dijangka mengukuhkan hubungan ekonomi dengan China yang pasti akan menghasilkan aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih besar.

Selain Loke dan Nga, delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:02 PM