Najib menyampaikan  ucapannya ketika rundingan meja bulat di  China World Hotel, semalam.
Najib menyampaikan ucapannya ketika rundingan meja bulat di China World Hotel, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, lawatan rasminya ke China bukan saja mendapat hasil sangat memberangsangkan, malah membawa hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Katanya, ini berdasarkan beberapa perkara, termasuk 14 pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan perniagaan (B2B) RM144 bilion

“Ini jumlah terbesar yang pernah kita lakukan menjadikan sebagai satu pencapaian bersejarah.

“Lawatan juga dianggap bersejarah berikutan keputusan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membeli empat kapal daripada syarikat China,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri China Li Keqiang di Great Hall of the People di sini, petang semalam.

Sebelum itu, beliau menghadiri upacara pemeriksaan perbarisan penghormatan daripada angkatan tentera China.

Majlis sambutan rasmi itu turut dihadiri Li dengan disaksikan pemimpin China dan Menteri Kabinet Malaysia.

Menurut Najib, pembinaan kapal itu yang membabitkan syarikat dari China dan Malaysia siap dalam tempoh dua tahun.

Dua akan dibina di China dan bakinya di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, kampus Universiti Xiamen yang menjadi universiti pertama China dibina di luar negara itu di Malaysia dijangka siap suku pertama tahun depan dengan kemampuan memuatkan 5,000 pelajar.

“Ini bererti buat kali pertama universiti awam China dibenarkan buka kampus cawangan di luar negara dan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah. Ini satu perkembangan bersejarah,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan beberapa perkara kepada Perdana Menteri China, termasuk Malaysia meluluskan penubuhan cawangan China Construction Bank di Malaysia.

“Ini janji kita ketika dalam lawatan sebelum ini. Saya serahkan surat kelulusan atas nama Menteri Kewangan kepada bank berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Li Keqiang juga dimaklumkan kontrak membina landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru diberikan kepada syarikat China bernilai RM8.9 bilion.

“Surat tawaran sudah dikeluarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:39 AM