BERNAMA

Beijing: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya akan mengutamakan usaha untuk membina hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan China.

"Malaysia sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan China tetapi dengan kerajaan baharu, pendirian kami adalah lebih jelas.

"Saya mengambil pendirian bahawa keutamaan kami (menyokong) 'Dasar Satu China' selain menumpukan kepada hubungan dua hala dengan China," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian di dalam ucapannya semasa mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari China, Li Qiang yang berlangsung di Great Hall of the People, di sini hari ini.

Anwar berkata, banyak dasar yang dipelopori Presiden China, Xi Jinping seperti komuniti yang berkongsi masa hadapan, inisiatif keselamatan dan peradaban adalah sama dengan konsep Madani di Malaysia.

"Itulah faktor mengapa kami memilih secara terbuka mengumumkan sokongan kepada China dan kepimpinannya," kata beliau.

Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden terhadap layanan baik dan mesra kepada beliau dan delegasi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 8:06 PM